Hidup jangan ada tekanan - Umie Aida


Saya percaya kepada ketentuan rezeki. Saya sekadar berusaha. Dalam dunia ini tiada siapa yang mahu kekecewaan.

JANGAN hidup dalam tekanan. Cari keseronokan. Kalau ada masalah, rileks sahaja," kata Umie Aida berhubung kehidupannya pada hari ini.

Baginya setiap manusia tidak terlepas daripada dugaan. Justeru adalah penting mengawal setiap permasalahan yang timbul.

Merujuk dirinya yang sedang diduga dengan soal zuriat, Umie menyifatkan itu adalah ujian daripada-Nya.

Tidak mahu mempersoalkan tentang perkara tersebut, Umie bersyukur kerana berpeluang menumpang kasih bersama dua orang anak angkatnya.

Umie bertuah kerana Mohd. Daniel Firdaus, 20, dan Mohd. Dzulhelmy, 19, yang dianggap sebagai darah dagingnya memberi kesempatan untuk dirinya merasai dan berkongsi kasih sayang.

"Saya percaya kepada ketentuan rezeki. Saya sekadar berusaha. Dalam dunia ini tiada siapa yang mahu kekecewaan. Semuanya ingin kebahagiaan.

"Saya terima dugaan ini sebagai ujian Allah. Sama sekali tidak akan mempersoalkannya," kata Umie yang ditemui di Petaling Jaya, Selangor malam Selasa lalu.

Pernah membuat ujian rawatan kesuburan secara klinikal, dia percaya satu hari nanti dia pasti berjaya melahirkan zuriat sendiri.

Sengaja mengusik sama ada pemilik nama sebenar Umi Kalsum Rahmad Ali ini pernah mencuba rawatan secara tradisonal, dia menafikannya.

Pun begitu Umie mengakui pernah berurut untuk melancarkan darah. Tetapi selepas membuat pembedahan kecil pada tahun lalu, doktor menasihatkan agar dia tidak berurut lagi.

Selain itu Umie mengakui melanggar 'pantang' doktor yang kerap menasihatinya untuk tidak terlalu aktif.

"Saya seorang yang suka bersukan dan berpeluh. Dalam seminggu pasti sekali saya akan bermain badminton atau menunggang basikal.
"Jadi apabila dinasihatkan untuk tidak terlalu aktif, itu buat saya biul sekejap," seloroh pelakon drama Surah Terakhir ini.

Duta produk Stemcell

Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-16 (FFM16) menerusi filem Embun ini juga kini merupakan duta produk kesihatan Phyto Science Double Stemcell.

Produk kombinasi sel-sel tumbuhan daripada teknologi Swiss yang berasaskan sel stem epal dan anggur itu bertujuan untuk memelihara kulit dari dalam.

Selain itu pengambilan pemakanan tambahan itu akan mengaktifkan semula sel-sel pada seluruh tubuh agar sentiasa cergas dan bertenaga.

"Saya seorang yang sentiasa memerlukan tenaga tambahan. Setelah mengambilnya saya mampu bekerja dari siang sehingga ke tengah malam," katanya.

Dalam perkembangan lain, duta produk kecantikan dan pelangsingan bentuk badan Marie France ini sedang dalam proses untuk menyiapkan lagu duet bersama Erra Fazira. Lagu yang dicipta Azlan Abu Hassan itu berkisar tentang erti persahabatan.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130519/hi_07/Hidup-jangan-ada-tekanan---Umie-Aida#ixzz2TmRKDMIR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment